Thursday, February 3, 2011

History...It is true or myth???

1. Sejarah menceritakan apa yang telah berlaku dahulu kepada sesuatu negara atau bangsa. Tidak semua yang diceritakan diasaskan kepada fakta yang benar-benar berlaku. Tiap negara dan tiap ahli sejarah mengutamakan kepentingan negara apabila menulis berkenaan sejarah yang dilalui oleh negara masing-masing.

2. Demikian penulis sejarah British apabila menulis berkenaan pertempuran perang di Waterloo mendakwa bahawa pertempuran itu telah selesai dimenangi oleh Duke of Wellington, Jeneral yang mengetuai tentera British sebelum tentera Jerman yang diketuai oleh Blucher sampai ke Waterloo untuk membantu Wellington.

3. Ahli sejarah Jerman pula menulis bahawa Wellington hampir kalah di Waterloo apabila Blucher sampai dan menyelamatkan tentera British dan seterusnya memberi kemenangan kepada tentera gabungan Jerman dan British.

4. Banyaklah rencana dalam buku sejarah yang memberi gambaran yang berlainan dan berbeza berkenaan dengan peristiwa yang sama kerana kepentingan negara masing-masing.

5. Kita jarang membaca dalam buku sejarah Barat bahawa negara Sepanyol ditawan dan dikuasai orang Islam selama 800 tahun, atau kekalahan teruk tentera British di Gallipoli, Turki, di tangan tentera Turki pimpinan Mustafa Kamal.

6. Sekarang kita dengar pendapat bahawa dalam menulis sejarah negara kita sensitiviti semua kaum mesti diambil kira. Soalnya setakat manakah yang sensitiviti boleh menidak kebenaran sejarah? Jika ia keterlaluan maka sejarah yang akan dipelajari oleh penuntut kita akan menjadi cerita dongeng dan bukan sejarah.

7. Umpamanya ada dakwaan berkenaan dengan penduduk asal semenanjung ini yang bercanggah dengan kebenaran. Apakah kerana sensitifnya perkara ini maka kita tidak akan sebut berkenaan penduduk asal negeri-negeri Semenanjung, berkenaan orang asing yang datang menduduki semenanjung ini, yang menjadikan bahasa tempatan sebagai bahasa mereka, menerap sebahagian daripada budaya dan pakaian tempatan sebagai budaya dan pakaian mereka. Sekarang tidak ada lagi orang seperti ini kerana di zaman ini perlakuan seperti ini tidak dapat diterima oleh kaum tertentu.

8. Dan banyaklah lagi kebenaran sejarah yang boleh dianggap sensitif, sensitif kepada Melayu, Cina, Tamil, Iban, Kadazan dan lain-lain suku kaum. Jika semua yang sensitif kepada kaum-kaum di Malaysia ditapis maka tidak ada pelajaran yang akan diperolehi penuntut.

9. Sebaliknya satu daripada hasil dari matapelajaran sejarah ialah kita lebih prihatin dengan tidak melakukan kesalahan-kesalahan dahulu dalam tindak-tanduk rakyat dan pemerintah. Jika dahulu sistem raja berkuasa mutlak kerap membinasakan negara, maka sistem itu diganti dengan sistem pemerintahan oleh rakyat. Tanpa pengalaman dalam sejarah maka pembetulan cara pemerintahan negara tidak akan dapat dibuat.

10. Kata George Santayana, seorang ahli pemikir Amerika, "Mereka yang lupa akan sejarah akan didera dengan mengulangi kesilapan mereka berkali-kali".

11. Kita semua belajar dari pengalaman. Jika zaman ini lebih baik iklimnya daripada dahulu sebabnya ialah kerana kita tidak amalkan kesilapan-kesilapan dahulu. Kita telah belajar dari pengalaman kita dan pengalaman ini adalah sebahagian dari sejarah.

12. Jika kita lupakan atau ketepikan pengalaman dahulu yang kita alami tak dapat tidak pembaikan iklim dalam masyarakat manusia tidak akan menjadi lebih baik.

13. Saya telah baca buku teks sejarah dan saya dapati banyaklah peristiwa yang penting yang berlaku di zaman penjajahan British, Jepun, Siam dan sekali lagi British yang tidak terdapat dalam buku-buku ini.

14. Saya tahu apa yang tertinggal atau apa yang tidak diberi ulasan yang tepat kerana saya melalui zaman-zaman ini. Saya harap penulis yang akan menulis buku teks yang baru, sambil mengambilkira sensitiviti tetapi akan berpegang kepada kebenaran.

15. Oleh kerana semua ini maka janganlah kita terlalu ghairah untuk tidak menyentuh sensitiviti kaum-kaum di negara tercinta ini sehingga hilang segala pelajaran yang boleh diperolehi dari sejarah kita yang benar. 

Juga dipetik drpd note idola sy....He give more inspired to me...

No comments:

Post a Comment

Link Saya

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Slide Ini Wan n Zril Yg Wat ^_^